Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
05.07.18 Berkenan berangkat ke Sambutan Hari Raya YSHHB

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1439 Hijrah / 2018 Masihi anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB).


Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) dijunjung oleh Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar selaku Timbalan Pengerusi I Jemaah Tadbir YSHHB; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned selaku Timbalan Pengerusi II Jemaah Tadbir YSHHB; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Ahli-ahli Jemaah Tadbir YSHHB; Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB dan Pengarah Urusan YSHHB, Dato Paduka Awang Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny serta Ahli-ahli Jemaah Tadbir YSHHB yang lain.


Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.


Juga berangkat, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam serta kerabat diraja yang lain.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.


Yang Berhormat Menteri Pertahanan II dalam ucapannya menyembahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, menjunjung tinggi Titah Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang mana YSHHB mengetengahkan peserta yang terdiri daripada entiti korporat, termasuk Government-Linked Companies (GLC) dan syarikat-syarikat swasta yang memerlukan perkhidmatan lepasan graduan tempatan bagi memajukan syarikat mereka juga mengetengahkan para pemegang ijazah institusi pengajian tinggi yang berpotensi dan masih lagi mencari pekerjaan diyakini dapat membantu memperkasa sektor swasta dengan kelulusan dan bidang pengajian mereka.


Yang Berhormat menyembahkan, kewujudan entiti korporat, termasuk GLC dan syarikat-syarikat swasta memainkan peranan sangat penting untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara termasuk peranan mereka dalam mewujudkan dan memberikan peluang pekerjaan kepada pemegang-pemegang ijazah yang masih mencari pekerjaan.


Sembah Yang Berhormat lagi, selain daripada pendekatan yang lazim, di mana lepasan graduan menyumbangkan perkhidmatan kepada sektor swasta, di antara mereka juga telah memiliki bidang keusahawanan juga dilihat sebagai salah satu bidang yang berpotensi untuk dikembangkan, juga berbangga melihat banyak 'start-up companies' yang tumbuh dan diusahakan oleh para pengusaha belia yang terdiri daripada para lepasan graduan, yang mana mereka ini juga turut mendukung inisiatif kerajaan dalam menjana pekerjaan kepada anak-anak tempatan.


''Adalah diharapkan pertemuan di antara dua golongan utama di sukut baik Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran YSHHB pada tahun ini ikatan silaturahim dan kerjasama serta persefahaman dijalin akan dijadikan sebagai langkah permulaan untuk membuka ruang kerjasama di antara pihak swasta di negara ini dan pencari pekerjaan daripada kalangan para graduan untuk mendukung harapan negara melalui Wawasan 2035 bagi mencapai status rakyat yang berpendidikan, berkemahiran dan berjaya,'' sembah Yang Berhormat.


Pada majlis itu, Kebawah DYMM juga berkenan mengurniakan titah.


Majlis diserikan dengan persembahan pentas daripada para pelajar Sekolah YSHHB yang menggabungkan kanak-kanak daripada Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA), murid-murid sekolah rendah dan penuntut-penuntut sekolah menengah.


Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri berserta kerabat diraja yang lain kemudian berkenan menerima junjung ziarah dan beramah mesra bersama pelajar-pelajar YSHHB dan para jemputan.


Sejurus selepas itu, Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri berkenan menyertai sesi bergambar ramai.


Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah DYMM berserta kerabat diraja yang lain juga berkenan menyaksikan pameran-pameran bertempat di ruang legar pusat berkenaan, yang disertai oleh sebanyak 24 buah syarikat swasta yang mempamerkan mengenai peluang kerjaya dan insentif yang ditawarkan oleh syarikat masing-masing kepada anak-anak tempatan.


Di samping memberi kesempatan peluang kepada para peserta untuk beramah-mesra dengan raja yang sangat dikasihi, majlis tersebut juga setentunya akan memberi inspirasi dan perangsang kepada para peserta dalam melaksanakan peranan mereka masing-masing.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
Attachments