Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
02.07.18 Tanam ketaatsetiaan, kecintaan kepada raja

Bagi menyemarakkan serta memeriahkan lagi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-72 Tahun bagi Tahun 2018, Jabatan Penerangan mengendalikan Program Semarak Hari Keputeraan, bertempat di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, di ibu negara.


Hadir selaku tetamu kehormat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud.


Seramai lebih 400 orang hadir pada majlis tersebut terdiri daripada pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai dari jabatan-jabatan kerajaan, antaranya Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat, premis-premis perniagaan, syarikat-syarikat swasta, guru-guru sekolah serta penduduk-penduduk Mukim juga Kampung di Daerah Brunei dan Muara.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dikepalai oleh Pegawai Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Yang Dimuliakan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran bin Haji Kunchang, yang juga selaku Imam Masjid dan kemudian diikuti dengan persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Awang Haji Muhammad Fikri bin Haji Awang Metussin.


Kemuncak acara ialah Ceramah Khas disampaikan oleh Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, yang antara lain menyentuh mengenai ''Bagaimana Cara Kita sebagai Rakyat Negara Brunei Darussalam Menzahirkan Rasa Syukur dan Mencurahkan Taat Setia kepada Raja''.


Antara objektifnya adalah untuk menanamkan serta mempertingkatkan ketaat-setiaan dan kecintaan rakyat juga penduduk kepada raja dan peranan pemimpin negara ini, di samping turut meningkatkan kesedaran terhadap peranan serta tanggungjawab rakyat kepada raja juga pemimpin negara.


Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Dayang Hajah Siti Hafsah binti Haji Abdul Halim dan Pesuruhjaya PPNBD, Dayang Hajah Napsiah binti Haji Mohammad dalam temu bual bersama Pelita Brunei turut memuji dan menyokong usaha serta inisiatif Jabatan Penerangan dalam menganjurkan program seumpamanya.


Jelas mereka, melalui program berkenaan dan menerusi inti pati ceramah yang disampaikan akan dapat menyampaikan mesej dalam memupuk rasa hormat dan sayang rakyat serta penduduk di negara ini terhadap raja dan pemimpin negara, di samping untuk sentiasa melahirkan rasa syukur terhadap kepimpinan yang adil serta saksama di bawah pemerintahan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.


Maka dengan itu, semoga hubungan raja dengan rakyat di negara ini akan terus menerus mantap bagi menjamin kehidupan aman damai yang berpanjangan, sekali gus dapat menyumbang pada keamanan, kesejahteraan, kemajuan dan pembangunan berterusan kepada negara tercinta.


Bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Pegawai Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Awang Mohd. Hasnol bin Haji Mohammad dan Doa Allah Peliharakan Sultan dipimpin oleh Yang Dimuliakan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran bin Haji Kunchang.


Program tersebut juga merupakan salah satu daripada pendekatan komunikasi bersemuka yang mampu mendekati masyarakat secara langsung bagi menyampaikan tujuan serta matlamat program dengan tepat juga jelas, di samping diberikan kefahaman mengenai peranan Raja dan pemimpin yang menerajui NBD ke arah sebuah negara 'Baldatun Tayyibatun Warrabun Ghafur', berpaksikan pada konsep Melayu Islam Beraja dan Negara Zikir.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
Attachments