Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
05.03.18 Berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Pembukaan Rasmi MMN


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-14 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, MMN, di sini.

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menerima tabik hormat diraja diiringi dengan lagu kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei dan seterusnya berkenan memeriksa barisan kehormatan yang terdiri daripada 168 anggota Pasukan Polis Diraja Brunei yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah Perbarisan, Penguasa Polis Awang Suhairi bin Haji Shukri.

Kebawah DYMM serta kerabat diraja yang lain seterusnya dijunjung dan berkenan berangkat ke Dewan Majlis Persidangan MMN. Baginda kemudian berkenan mengurniakan titah pada Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-14 MMN tersebut.

Bagi memberkati istiadat berkenaan, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Sebelum berangkat meninggalkan Bangunan Dewan Majlis, Kebawah DYMM serta kerabat diraja yang lain berkenan bagi sesi bergambar bersama Ahli-ahli MMN.

Terdahulu sebelum Istiadat Pembukaan Rasmi diadakan, Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-14 MMN telah bersidang dengan Majlis Mengangkat Sumpah bagi 10 orang Ahli baharu sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet selaku Ahli MMN.

Persidangan MMN adalah untuk meneliti dan mengesahkan Minit Persidangan MMN, Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-13 yang telah bersidang selama 11 hari mulai 6 Mac hingga 21 Mac 2017 yang lalu.

Ianya kemudiaannya ditangguhkan bagi Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-14 MMN.

MMN Ke-14 dipengerusikan oleh Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib dan dibantu oleh Jurutulis MMN, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Awang Haji Judin bin Haji Asar dan Timbalan Jurutulis MMN, Dayang Rose Aminah binti Haji Ismail.

Sementara itu, Ahli-Ahli MMN terdiri daripada Ahli-Ahli Rasmi Kerana Jawatan (Perdana Menteri dan Menteri-Menteri), Ahli-Ahli Yang Dilantik Orang-Orang Bergelar, Ahli-Ahli Yang Dilantik Orang Yang Telah Mencapai Kecemerlangan dan Ahli-Ahli Yang Dilantik Mewakili Daerah.

Persidangan MMN Ke-14 antaranya akan membincangkan perkara utama termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan Bagi Tahun Kewangan 2018/2019 bagi Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Persidangan MMN akan disambung semula untuk bersidang pada hari Selasa, 6 Mac 2018, bermula pada jam 9.00 pagi.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments