Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksNews

  
Body
  
  

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan Surat-surat Watikah Pelantikan kepada Ketua-ketua Perwakilan Negara Brunei Darussalam yang baru dilantik dan menerima Surat-surat Tauliah Pelantikan daripada Ketua-ketua Perwakilan Asing yang baharu ke Negara Brunei Darussalam.


Majlis-majlis tersebut berlangsung di Istana Nurul Iman.


Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mula-mula berkenan mengurniakan Surat-surat Watikah Pelantikan kepada Wakil Tetap Negara Brunei Darussalam ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, Konfederasi Swiss, Puan Yang Terutama Dayang Hajah Masurai binti Haji Masri; Wakil Tetap Negara Brunei Darussalam ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat, Puan Yang Terutama Dayang Hajah Noor Qamar binti Haji Sulaiman; Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke United Kingdom, Puan Yang Terutama Pengiran Hajah Rooslina Weti binti Pengiran Haji Kamaluddin dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Awang Haji Adnan bin Haji Mohd. Ja'afar.


Baginda seterusnya berkenan menerima Surat-surat Tauliah Pelantikan daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Qatar ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Jassim Ali Abdullah Al Obaidli; Pesuruhjaya Tinggi Republik India ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ajaneesh Kumar; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Emad bin Abdul Aziz bin Saad Al Muhanna.


Selepas majlis-majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima mengadap Ketua-ketua Perwakilan Negara Brunei Darussalam yang baru dilantik.


Wakil Tetap Negara Brunei Darussalam ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, Konfederasi Swiss, PYT Dayang Hajah Masurai binti Haji Masri sebelum ini telah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Rakyat Bangladesh.


Manakala, Wakil Tetap Negara Brunei Darussalam ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat, PYT Dayang Hajah Noor Qamar binti Haji Sulaiman, sebelum ini berkhidmat sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.


Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke United Kingdom, PYT Pengiran Hajah Rooslina Weti binti Pengiran Haji Kamaluddin sebelum ini berkhidmat sebagai Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke United Kingdom.


Manakala, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Demokratik Timor-Leste, TYT Awang Haji Adnan bin Haji Mohd. Ja'afar, sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.


Kebawah DYMM seterusnya berkenan menerima mengadap secara berasingan Ketua-ketua Perwakilan Asing yang baharu ke Negara Brunei Darussalam.


Kebawah DYMM mula-mula berkenan menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Qatar ke Negara Brunei Darussalam, TYT Jassim Ali Abdullah Al Obaidli. TYT yang sebelum ini berkhidmat sebagai Duta di Ibu Pejabat Kementerian Hal Ehwal Luar, Negara Qatar.


Kemudian, Kebawah DYMM berkenan menerima mengadap Pesuruhjaya Tinggi Republik India ke Negara Brunei Darussalam, TYT Ajaneesh Kumar. TYT sebelum ini berkhidmat sebagai Deputy Director General di Indian Council of World Affairs (ICWA) di New Delhi.


Seterusnya Kebawah DYMM berkenan menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam, TYT Emad bin Abdul Aziz bin Saad Al Muhanna. TYT sebelum ini bertugas sebagai Director of the Undersecretary Office for Protocol Affairs.


Juga hadir di majlis-majlis mengadap tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
His Majesty News
  

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud, petang tadi meneruskan lagi Lawatan Kerja ke Jabatan Penerangan dan seterusnya meninjau dengan lebih dekat lagi perkembangan jabatan berkenaan.


Kehadiran Yang Berhormat Menteri dialu-alukan oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad dan Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar.


Sejurus itu, Yang Berhormat Menteri di JPM dipelawa ke Bilik Persidangan, Aras II, Bangunan Tambahan Jabatan Penerangan bagi mendengar taklimat ringkas mengenai peranan dan fungsi Jabatan Penerangan yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Penerangan dan seterusnya sesi soal jawab.


Terdahulu, Pemangku Pengarah Penerangan dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan mengenai peranan jabatan berkenaan sebagai lidah dan telinga kerajaan dalam menyampaikan maklumat dan berita mengenai dasar, aktiviti dan program kerajaan serta mendengarkan isu-isu terkini dan memahami agenda media massa.


Di samping itu, beliau turut mengongsikan mengenai beberapa kemajuan yang telah dicapai oleh Jabatan Penerangan di sepanjang 66 tahun penubuhannya sejajar dengan misi jabatan untuk memelihara dan mencemerlangkan imej raja, negara dan kerajaan sebagai salah satu agensi peneraju dalam penyebaran maklumat yang cepat, tepat dan berwibawa.


"Untuk memastikan yang perkhidmatan Jabatan Penerangan terus 'current' atau terkini, media baharu seperti Aplikasi Mudah Alih Jabatan Penerangan 'InfoDeptBN', media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter juga digunakan sepenuhnya dalam penyebaran maklumat yang lebih berkesan dan dapat menjangkau kepada masyarakat dengan lebih jauh lagi," ujarnya.


Pada lawatan kerja kali ini, Yang Berhormat Menteri juga berpeluang mengadakan lawatan ke bahagian-bahagian dan unit-unit yang ada di Bangunan Tambahan dan Bangunan Asal Jabatan Penerangan, yang mana kemudiannya Yang Berhormat Menteri melancarkan 'Pusat Rujukan Penerangan' terletak di Aras II, Bangunan Asal Jabatan Penerangan dan seterusnya mendengarkan penerangan ringkas mengenai pusat berkenaan.


Jabatan Penerangan kini menerbitkan 26 tajuk penerbitan dalam bahasa Melayu dan 34 tajuk dalam bahasa Inggeris, yang mana penerbitan juga turut dimuatnaik ke laman sesawang jabatan bagi memudahkan orang ramai membaca dan membuat rujukan.


Juga hadir sama ialah Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap di JPM serta pegawai-pegawai kanan di JPM dan di Jabatan Penerangan.


Dengan adanya lawatan seumpama ini, ianya dihasratkan untuk memberikan peluang kepada para pegawai di Jabatan Penerangan untuk berinteraksi serta bertukar-tukar fikiran dengan Yang Berhormat Menteri khususnya mengenai pembangunan, perkembangan dan kesejahteraan warga kerja Jabatan Penerangan.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Other News
  

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman berkenan berangkat menyaksikan persembahan 'Celebration of Dance featuring Tchaikovsky's The Nutcracker' anjuran Studio Elevé, berlangsung di Surambi Suluh, Tarindak D' Seni.


Berangkat sama anakanda-anakanda Duli Yang Teramat Mulia, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman.


Acara tersebut mempersembahkan tarian balet bergenre neo / klasik, kontemporari dan hip-hop yang dibawakan oleh lebih 80 pelajar Studio Elevé berusia antara tiga hingga 16 tahun.


Antara yang berkenan menyertai ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dalam persembahan tarian 'Greatest Showman Mix - Hip Hop Group C' dan Spanish Dance bagi Gred 2.


Terdahulu, acara turut menyaksikan penganugerahan sijil-sijil dan pin dalam peperiksaan Royal Academy of Dance (RAD) bagi pelajar-pelajar Pra-rendah (Pre-primary), Rendah (Primary), Gred 1, Gred 3, Gred 4, Intermediate Foundation dan Intermediate.


Turut menerima ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah yang berjaya meraih sijil Merit dan pin Perak bagi Gred 1.


Studio Elevé merupakan sebuah akademi tarian dan kecergasan (Dance / Fitness Academy) yang baru beroperasi pada bulan Julai 2018, diasaskan oleh Pengarah Urusan yang juga selaku guru tarian, Samuel Milan.


Ia beroperasi sebagai akademi tarian untuk kanak-kanak tiga tahun dan ke atas, dan sebagai pusat kecergasan bagi golongan dewasa.


Berdaftar di bawah Sekolah Ballet Royal Academy of Dance (RAD), Studio Elevé menjalankan kelas balet (Pra-Rendah hingga Solo Seal Level) menurut Sylabus RAD dan dibimbing oleh tenaga pengajar yang diiktiraf.


Sementara itu, The Royal Academy of Dance (RAD) Society adalah salah satu organisasi pendidikan dan latihan tarian terbesar dan paling berpengaruh di dunia dengan lebih daripada 13,000 ahli di 79 buah negara.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Senior Minister News
  

Apa pun yang dilakukan oleh umat Islam di dunia ini perlulah ditanamkan niat untuk mencari reda Allah kerana tanpa reda Allah segalanya akan menjadi sia-sia.


Perkara tersebut dikongsikan oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), A/Sgt 6472 Mohamad Yusri bin Haji Abu Bakar semasa menyampaikan tazkirah bertajuk 'Mencari Redha Allah' bagi Program Masjidku Makmur Negara Berkat yang berlangsung di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.


"Jika seseorang itu mencari reda Allah dalam segala urusan yang dilakukannya, nescaya Allah akan memberkatinya dan melancarkan urusannya dalam pelbagai cara," tambahnya.


Pentazkirah turut menyatakan bahawa orang yang mempunyai ilmu dan mengongsikan ilmu yang dimilikinya adalah merupakan antara orang-orang yang mendapat reda Allah.


"Manakala bagi seorang anak, untuk mencari reda Allah, mereka perlu terlebih dahulu mendapatkan reda ibu bapa. Maka apabila ibu bapa reda, Allah akan reda dan apa pun yang dilakukan oleh anak tersebut akan berjalan dengan lancar," jelasnya.


Hadir bersama-sama jemaah masjid bagi menjayakan program tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Awang Haji Abd Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Setiausaha Tetap (Hal Ehwal Korporat dan Pentadbiran Awam) JPM, Awang Haji Roslan bin Haji Taja'ah dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.


Program Masjidku Makmur Negara Berkat pada minggu ini dikendalikan oleh KHEU bersama PPDB.


Ia merupakan satu program mingguan dan ajakan bagi mengalu-alukan jemaah meningkatkan kehadiran bagi memakmurkan masjid dan seterusnya bersama-sama secara istiqamah (berterusan) mendirikan Sembahyang Fardu Subuh secara berjemaah pada awal waktu di masjid.


Program ini juga turut memberikan peluang kepada para pengunjung bersempena acara Bandarku Ceria, memulakan langkah dan keceriaan hari mereka dengan meraih keberkatan melalui partisipasi menunaikan tuntutan sembahyang fardu secara berjemaah dan merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid-wirid selepas sembahyang dan kegiatan keagamaan yang telah diaturkan.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Other News
  

Seramai 161 pegawai dan kakitangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya hari ini menerima sijil persaraan bagi menghargai jasa dan bakti dalam perkhidmatan mereka.


Hadir menyampaikan sijil dan penghargaan di Dewan Bankuet, Bangunan JPM di sini ialah Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud.


Setiausaha Tetap (Hal Ehwal Korporat dan Pentadbiran Awam) di JPM, Awang Haji Roslan bin Haji Taja'ah selaku Pengerusi Majlis dalam ucapan penghargaannya antara lain menyatakan, para pesara boleh dianggap sebagai bekas pegawai kerajaan yang setentunya mempunyai cukup pengalaman dan pengetahuan di sepanjang perkhidmatan, umpamanya dalam bidang kepimpinan dan juga mempunyai kepakaran tertentu yang boleh dipraktikkan di mana-mana situasi yang menghendakinya.


Jelasnya, mungkin ada di antaranya yang berkeinginan untuk menjadi pemimpin akar umbi, melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawan dan ada di antaranya juga menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.


''Tidak syak lagi keperluan dan kepentingan dalam memimpin masih lagi relevan dan diperlukan secara berterusan walaupun selepas bersara.


Justeru itu para pesara juga boleh mengongsikan ilmu pengetahuan dan pengalaman serta kepakaran tertentu itu kepada generasi baharu, supaya apa jua hasrat kitani dalam menghasilkan pemimpin yang berwibawa, berkeupayaan, berkemahiran dan berkualiti dapat dicapai secara langsung atau tidak langsung dan sekali gus akan dapat mendukung hasrat kerajaan untuk mencapai Wawasan 2035,'' tegasnya.


Seperti yang kita sama-sama maklumi, tambahnya, persaraan merupakan salah satu fasa dalam kitani menjalani dan menempuhi di alam pekerjaan. Khususnya di Perkhidmatan Awam, sebahagiannya telah menjalani dan menempuhinya alam pekerjaan hampir 30 tahun lamanya dan sebahagiannya lebih daripada itu.


Katanya, apabila melangkah kepada kehidupan persaraan, berbagai perasaan akan timbul, mungkin ada yang berasa terharu kerana sudah banyak kenangan-kenangan yang telah terpahat dan yang tidak dapat dilupakan di sepanjang perkhidmatan, apatah lagi bersama pegawai dan kakitangan sepejabat yang sama-sama berjuang.


''Pada masa yang sama, timbul juga perasaan gembira kerana inilah rezeki dikurniakan dalam bentuk masa yang boleh dimanfaatkan sebaik-baiknya, seperti meluangkan waktu bersama keluarga yang tercinta, melibatkan diri di dalam aktiviti kemasyarakatan, sosial, keugamaan, kesukanan dan sebagainya,'' ujarnya lagi.


Acara tahunan berkenaan adalah sebagai tanda penghormatan dan mengenang jasa bakti yang telah dicurahkan selama ini oleh pegawai-pegawai yang bersara, setelah bertahun-tahun bertungkus lumus mengerah tenaga, keringat dan buah fikiran serta menempuh berbagai cabaran dalam sama-sama menyumbang ke arah peningkatan produktiviti organisasi masing-masing semasa bergelar sebagai pegawai dan kakitangan kerajaan, sekali gus ke arah menyumbang bakti kepada ugama, bangsa dan negara.


Turut hadir, Timbalan Menteri di JPM, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dayang Hajah Elinda binti Haji C.A. Mohammad, Juruaudit Agung, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, serta para pegawai dan kakitangan di JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Other News
  

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Republik Korea, Puan Yang Terutama Kang Kyung-wha.


Majlis Mengadap berlangsung di Istana Nurul Iman.


Hadir bersama Puan Yang Terutama Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Republik Korea ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yoon Hyun-bong dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Politik di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Republik Korea, Tuan Yang Terutama Yoon Soon-gu.


Juga hadir, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof dan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Dayang Emaleen binti Abdul Rahman Teo.


Hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea telah dijalin pada 1 Jun 1984. Sejak itu, kedua-dua buah negara bekerjasama secara meluas dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, tenaga, pembangunan infrastruktur, pertukaran di kalangan masyarakat dan pelancongan.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

His Majesty News
  

Pada menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, maka dengan ini dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi pelantikan Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii selaku Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam dengan tarikh lantikan berkuatkuasa 28 Rabiulawal 1440H bersamaan dengan 6 Disember 2018M.


Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam yang baru dilantik akan disertai oleh enam pegawai-pegawai kanan selaku ahli-ahli Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam:


(i) Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Pengiran Haji Kamalrudzaman bin Pengiran Haji Mohd. Ishak (pelantikan baharu);


(ii) Setiausaha Tetap (Prestasi dan Korporat) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Pengiran Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Tawaran Negara (pelantikan baharu);


(iii) Setiausaha Tetap (Ekonomi) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr. Dayang Hajah May Fa'ezah binti Haji Ahmad Ariffin (pelantikan baharu);


(iv)  Penolong Peguamcara Negara di Pejabat Peguam Negara, Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohd. Taib (pelantikan baharu);


(v) Ketua Bahagian FDI Action and Support Center (FAST), Awang Mohammad Harris bin Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim dan


(vi) Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Global) di Universiti Brunei Darussalam, Dr. Joyce Teo Siew Yean.


Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam telah ditubuhkan pada 1 Ogos 2017 sebagai sebuah badan bebas yang dimandatkan untuk mempromosi persaingan perniagaan di Negara Brunei Darussalam melalui penguatkuasaan Perintah Persaingan 2015, ke arah meningkatkan kecekapan pasaran dan kesejahteraan pengguna di negara ini.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto Radio Television Brunei
His Majesty News
  

Ketepatan masa akan menjadi keutamaan dan kecekapan mestilah menjadi norma dalam pentadbiran mahkamah.


Perubahan dalam budaya kerja dan cara pemikiran yang baharu harus dilakukan.


Ketua Hakim Mahkamah Besar, Yang Amat Arif Dato Paduka Steven Chong Wan Oon menegaskan demikian pada Majlis Pembukaan Tahun Undang-Undang 2019 yang berlangsung di Bangunan Mahkamah Tinggi, di sini seterusnya berkata, langkah-langkah yang sepatutnya telah dilaksanakan bagi memastikan perbicaraan bermula tepat pada masanya, bilangan penangguhan perbicaraan yang berjalan dikurangkan, pengurusan kes aktif diamalkan dan tempoh masa dalam penyampaian penghakiman dipenuhi yang mana akan memperbaiki prestasi dalam perlupusan jika ia berlaku.


Menurut Yang Amat Arif Dato Paduka Steven Chong Wan Oon, sasaran telah ditetapkan untuk penyampaian penghakiman oleh Hakim, Majistret dan Pendaftar umumnya satu bulan dan tidak melebihi tiga bulan untuk kes-kes yang kompleks selepas penutupan segala hujah-hujah.


Yang Amat Arif seterusnya mengulangi bahawa dalam mencapai keberkesanan Kehakiman mesti mencari keseimbangan untuk mengekalkan kepercayaan dan keyakinan orang ramai pada pentadbiran keadilan.


"Keadilan yang tertunda dan keadilan yang bergegas boleh menyebabkan ketidakadilan. Di satu pihak, kes-kes perlu diselesaikan dengan segera dan hakim-hakim tidak harus menunda keadilan kerana terdakwa atau litigan boleh kehilangan kebebasan atau harta benda. Sebaliknya, tidak ada seorang pun yang harus meninggalkan mahkamah dengan keluhan bahawa mereka tidak mendapat hak bagi perbicaraan yang penuh dan adil kerana hakim yang tidak bersabar. Ia adalah aksiomatik bahawa keadilan bukan hanya dilakukan tetapi terlihat telah terlaksana," ujar Yang Amat Arif.


Dalam ucapannya juga, Yang Amat Arif memuji Persatuan Undang-Undang atas usaha persatuan itu dalam mengembangkan perkhidmatan pro bono untuk meningkatkan akses pada keadilan.


Yang Amat Arif menggalakkan semua ahli badan guaman untuk menawarkan khidmat mereka dan menggunakan latihan mereka untuk berkhidmat kepada masyarakat yang kurang bernasib baik dan lemah demi untuk kepentingan awam.


Majlis Pembukaan Tahun Undang-Undang 2019 bermula dengan Ketua Hakim Mahkamah Besar memeriksa perbarisan kehormatan terdiri daripada anggota-anggota Pasukan Polis Diraja Brunei.


Sejurus selepas Perbarisan Kawalan Kehormat, acara diteruskan dengan ucapan dari Ketua Hakim Mahkamah Besar dikuti dengan ucapan Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Hairol Arni bin Haji Abdul Majid dan Yang Di-pertua Persatuan Undang-Undang, On Hung Zheng.


Upacara tersebut merupakan perkumpulan tahunan yang diadakan di Mahkamah Besar yang mengumpulkan semua ahli komuniti perundangan Negara Brunei Darussalam.


Juga hadir, Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim; Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; Yang Amat Arif Ketua Hakim Mahkamah Syariah; Yang Arif Hakim-Hakim Mahkamah Sivil dan Syariah; Pembesar-pembesar Negara; Ahli-ahli Mesyuarat Negara; Duta-Duta dan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya, pegawai-pegawai kanan kerajaan, pegawai-pegawai dan kakitangan dari Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, pengamal undang-undang, ahli-ahli dari berbagai agensi penguatkuasa kerajaan dan mahasiswa mahasiswi dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Other News
  

Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) mencapai ulang tahun  ke kelapan.Sehubungan itu, Majlis Doa Kesyukuran bagi memperingati penubuhannya diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Perpindahan Mentiri di sini.


Hadir menyerikan majlis berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong yang juga selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah AMBD dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud.


Juga hadir, Peguamcara Negara di Pejabat Peguam Negara, Dayang Zuraini binti Haji Sharbawi dan Pengarah Urusan AMBD, Awang Yusof bin Haji Abd.Rahman serta para pegawai dan kakitangan AMBD.


Majlis tersebut diimarahkan dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil beramai-ramai diikuti Doa Kesyukuran dipimpin oleh Imam masjid berkenaan, Awang Haji Shamsul bin Haji Abd. Latif.


Sejak penubuhannya pada tahun 2011, beberapa pembangunan infrastruktur pasaran kewangan domestik telah dicapai oleh AMBD  termasuk sistem Real Time Gross Settlement (RTGS) pada tahun 2014; sistem Automated Clearing House (ACH) pada tahun 2016; dan sistem Central Securities Depository (CSD) pada tahun 2017.


Penggunaan Direct Credit Transfer dalam sistem ACH yang telah beroperasi mulai Februari 2017 telah menyumbang kepada pengurangan penggunaan cek fizikal sebanyak 18 peratus pada tahun ini berbanding tahun 2016. Nilai cek yang diproses pada tahun 2018 berbanding dengan tahun sebelumnya juga dijangka menurun sebanyak 27 peratus.


Selain itu, AMBD juga telah menerbitkan 'Digital Payment Roadmap for Brunei Darussalam 2019-2025' yang merupakan salah satu inisiatif strategik ke arah transformasi industri pembayaran negara kepada pembayaran secara digital.


Roadmap yang menetapkan strategi ke arah 'Digital Payment Nation' adalah selaras dengan strategi di bawah Financial Sector Blueprint 2016-2025 (FSBP) serta visi Wawasan Brunei 2035 dalam usaha untuk mempelbagaikan ekonomi secara dinamik.


Fungsi AMBD juga telah meluas bagi menepati keperluan pasaran, seperti perkhidmatan Biro Kredit dan kepentingan pengguna kewangan di negara ini.


Ke arah menjayakan Wawasan Brunei 2035, AMBD telah memberikan latihan ke arah melahirkan pakar-pakar dalam bidang penyeliaan, kewangan, kewangan Islam dan ekonomi di kalangan generasi muda di negara ini dengan menggalakkan pembelajaran yang berterusan bagi pegawai dan kakitangannya sendiri.


Selain itu, kerjasama kolaborasi AMBD bersama institusi pengajian tinggi di negara ini juga dilaksanakan bagi menyediakan program-program latihan yang komprehensif bagi mahasiswa dan mahasiswi yang menyertai Program Perantisan AMBD.


Di bawah naungan AMBD, Pusat Perbankan, Kewangan dan Pengurusan Islam (CIBFM) juga telah menganjurkan latihan-latihan dalam bidang yang sama, khusus bagi industri kewangan dan orang ramai.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
Other News
  

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diseru supaya akan dapat menilai semula dan seterusnya menambah nilai pencapaian-pencapaian dalam menjalankan peranan dan tanggungjawabnya, termasuklah dalam projek-projek Rangka Kerja Perkhidmatan Awam, pembangunan kepimpinan, perancangan penggantian, pengauditan sumber tenaga manusia, perancangan keperluan latihan dalam perkhidmatan awam, etika kerja, disiplin dan integriti.


Perkara tersebut ditekankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud ketika berucap pada sesi perbincangan yang diadakan di Bilik Mesyuarat Asyura, JPA.


Yang Berhormat Menteri turut menyarankan agar JPA meneliti dasar-dasar dan peraturan-peraturan sedia ada dan memastikan ia sentiasa relevan.


Walau bagaimanapun ujar Yang Berhormat Menteri, apa jua rancangan perubahan hendaklah juga mengambil kira pandangan-pandangan daripada 'stakeholders', berlandaskan konsep Melayu Islam Beraja.


Di samping itu, Pangkalan Data hendaklah sentiasa dikemas kini dan disimpan dengan bersistematik, bagi kemudahan pemantauan dan perancangan.


Pada lawatan tersebut, Yang Berhormat Menteri turut mendengar taklimat ringkas mengenai peranan dan fungsi JPA dan seterusnya sesi perbincangan.


Terdahulu, kehadiran Yang Berhormat Menteri telah dialu-alukan oleh Setiausaha Tetap, Jabatan Perdana Menteri, Awang Haji Roslan bin Haji Taja'ah dan Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dr. Awang Norfarizal bin Othman.


Pada lawatan tersebut Yang Berhormat Menteri seterusnya dibawa menyaksikan secara dekat Bahagian-bahagian yang ada di JPA termasuk menyaksikan Pelan Program Pembangunan Warga Kerja Jabatan Perkhidmatan Awam; penyerahan Civil Service Leadership Pipeline (CSLP) Handbook dan juga mendengarkan taklimat mengenai Portal Jabatan Perkhidmatan Awam.


Yang Berhormat Menteri kemudiannya melancarkan Projek Digitasi Rekod Perkhidmatan Warga Perkhidmatan Awam; Buku Garispanduan dan Tatacara Pelaksanaan Pengauditan Tenaga Manusia Perkhidmatan Awam bagi Agensi-Agensi Kerajaan Negara Brunei Darussalam; dan Buku Panduan Latihan Dalam Perkhidmatan.


Yang Berhormat Menteri turut membuat lawatan ke Bahagian Penyelidikan dan Perancangan, Bangunan BEDB, Jalan Kumbang Pasang dan berkesudian untuk melancarkan Buku Garispanduan dan Tatacara Perlaksanaan Pengauditan Tenaga Manusia Perkhidmatan Awam bagi Agensi-Agensi Kerajaan Negara Brunei Darussalam.


Turut hadir ialah Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap di JPM, serta pegawai-pegawai kanan di JPM.


Dengan lawatan Yang Berhormat Menteri tersebut adalah bagi meninjau dengan lebih dekat lagi perkembangan JPA selaku agensi utama bagi sumber manusia dalam Perkhidmatan Awam.


Selain itu, ia dihasratkan untuk memberi peluang kepada pegawai-pegawai JPA untuk berinteraksi serta bertukar-tukar fikiran dengan Yang Berhormat Menteri khususnya mengenai pembangunan, perkembangan dan kesejahteraan warga kerja JPA.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Other News
  

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Presiden Republik Kesatuan Myanmar, Tuan Yang Terutama U Win Myint dan Konsular Negara dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Republik Kesatuan Myanmar, Puan Yang Terutama Daw Aung San Suu Kyi dan kerajaan serta juga rakyat republik tersebut bersempena dengan Hari Kemerdekaan Republik Kesatuan Myanmar Yang Ke-71 Tahun.


Dalam titah perutusan kepada Presiden Republik Kesatuan Myanmar, Tuan Yang Terutama U Win Myint, Kebawah DYMM menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam dan Republik Kesatuan Myanmar serta rakyat masing-masing telah sekian lama menikmati persahabatan yang akrab sejak wujudnya hubungan diplomatik 25 tahun yang lalu. Melalui perhubungan yang sangat bernilai ini, Negara Brunei Darussalam dan Republik Kesatuan Myanmar beroleh manfaat dalam banyak bidang kerjasama dan seterusnya baginda berharap akan dapat memperkukuhkan lagi pertalian yang penting ini di tahun-tahun mendatang.


Sementara itu, dalam titah perutusan yang sama kepada Konsular Negara dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Republik Kesatuan Myanmar, Puan Yang Terutama Daw Aung San Suu Kyi, baginda amat menghargai persahabatan yang wujud di antara kedua-dua buah negara dan rakyat masing-masing. Baginda seterusnya berharap membaharui peluang untuk mengukuhkan lagi persahabatan kedua-kedua buah negara, baik di peringkat dua hala mahupun serantau.


Pada mengakhiri titah-titah perutusan tersebut, baginda menyampaikan salam muhibah kepada Presiden Republik Kesatuan Myanmar, Tuan Yang Terutama U Win Myint dan Konsular Negara dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Republik Kesatuan Myanmar, Puan Yang Terutama Daw Aung San Suu Kyi dan juga kepada rakyat republik tersebut dan semoga mereka gembira meraikan perayaan tersebut.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

His Majesty News
  

Cabaran dan peranan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara daripada pelbagai cabaran jenayah yang semakin kompleks hendaklah ditangani dengan bijak melalui kaedah-kaedah yang merangkumi semua aspek dengan disampiri nilai yang terpuji seperti jujur, amanah, integriti, dedikasi, tidak menyalahi kuasa dan sebagainya.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud menyatakan mengenai perkara tersebut semasa mengadakan Lawatan Kerja ke Ibu Pejabat PPDB bersempena Sambutan Hari Polis Ke-98, di Bangunan Ibu Pejabat PPDB, Jalan Tungku, di sini.


Yang Berhormat juga menekankan supaya PPDB akan dapat membudayakan semangat untuk membuat perubahan dan pembaharuan dalam menangani sebarang cabaran tugas yang dilaksanakan, iaitu bersedia ke arah perubahan yang baik atau lebih baik, tidak mudah berpuas hati dengan keadaan dan pencapaian yang sedia ada.


''Ini termasuklah perubahan dan pembaharuan dari segi pelaksanaan, pendekatan, tatacara, sifat, perangai dan sebagainya dalam melaksanakan tugas-tugas harian untuk meningkatkan lagi mutu kerja yang lebih efisien dan efektif yang dapat menyelesaikan tugas atau kes-kes jenayah dalam masa yang singkat,'' ujarnya.


Dalam hal yang berkaitan tambahnya, penyimpanan fail-fail dan data-data, iaitu Pangkalan Data hendaklah sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa dan disimpan dengan bersistematik terutama untuk kes-kes jenayah yang hendak atau akan dibicarakan.


Dengan adanya Pangkalan Data yang efisien dan terkini, ia dapat dikongsikan dengan agensi-agensi penguatkuasaan lainnya untuk bekerjasama dan memupuk semangat setia kawan dalam membasmi jenayah di negara ini.


Yang Berhormat juga menyeru pihak PPDB supaya akan terus bekerjasama rapat dengan Pengawasan Kejiranan (PK) Kampung dalam sama-sama menjaga keselamatan kampung-kampung di negara ini, di samping meneroka pembaharuan yang dapat dilaksanakan bagi memastikan PK Kampung dapat membantu dan mencapai objektif ia dilaksanakan.


Ini termasuklah meneliti semula aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan PK Kampung dari semasa ke semasa; kawasan-kawasan bandar dan premis perniagaan perlu diambil perhatian sewajarnya; dan keselamatan Ahli-ahli PK Kampung perlulah diambil perhatian, yang mana jika perlu untuk diberikan latihan asas yang berkaitan dengan keselamatan dan ilmu mempertahankan diri.


Bagi pihak Pengurusan PPDB pula jelas Yang Berhormat lagi, untuk meneliti semula Skim Perkhidmatan PPDB yang meliputi skop fungsi tugas, struktur pangkat juga kelayakan bagi Skim Perkhidmatan agar ia lebih relevan dengan peredaran masa sesuai dengan tugas dan tanggungjawab PPDB yang semakin mencabar.


Di samping itu PPDB juga terangnya, perlu mengambil perhatian yang sewajarnya mengenai Perancangan Penggantian (Succession Planning) secara keseluruhan bagi memastikan pegawai-pegawai PPDB bersedia untuk menggantikan pegawai-pegawai yang akan bersara dalam jangka pendek, sederhana dan panjang, bertujuan untuk mementingkan keupayaan dan keberkesanan organisasi PPDB.


Terdahulu dalam ucapannya, Yang Berhormat turut merakamkan penghargaan kepada PPDB atas dedikasi dan komitmen tinggi mereka dalam menumpaskan beberapa kes jenayah yang berlaku di negara ini, dan dengan kejayaan itu sedikit sebanyak dapat memperlihatkan peranan PPDB kepada masyarakat di negara ini, seterusnya meningkatkan lagi kepercayaan orang ramai kepada pihak berkuasa dalam menangani jenayah di negara ini.


Namun terangnya lagi, janganlah mudah berasa selesa dan lega, malah perlu terus meningkatkan usaha dan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan kadar jenayah di negara ini dapat dikurangkan menjadi tahap yang paling minimum.


''Ini termasuklah jenayah-jenayah yang kian membimbangkan seperti kes bunuh diri, kemasukan pendatang tanpa izin dan seterusnya melakukan aktiviti yang tidak bermoral seperti pelacuran dan sebagainya,'' jelasnya lagi.


Menerusi Lawatan Kerja berkenaan, Yang Berhormat juga turut menandatangani Lembaran Kenangan dan bergambar ramai, seterusnya beredar ke Bilik Mesyuarat Brunei Muara bagi mendengarkan siri Taklimat mengenai PPDB daripada Pesuruhjaya Polis, PPDB, Dato Paduka Seri Awang Haji Mohd. Jammy bin Haji Muhd. Shah Al-Islam.


Sejurus itu, Yang Berhormat juga berpeluang mengadakan lawatan ke beberapa tempat di sekitar Ibu Pejabat PPDB, antaranya ke Stor Kuartermaster Ibu Pejabat PPDB dan Ibu Pejabat Pusat Latihan Polis.


Lawatan Kerja tersebut antara lain bertujuan untuk melihat dan mendengar dengan lebih dekat lagi mengenai struktur organisasi PPDB, program atau aktiviti yang dijalankan, operasi harian dan sebagainya, seterusnya mengadakan perbincangan juga bertukar-tukar fikiran mengenai perkara-perkara berbangkit.


Hadir sama, Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet), JPM, Awang Mohd. Riza bin Dato Paduka Haji Mohd. Yunos, juga selaku Pemangku Setiausaha Tetap (Hal Ehwal Korporat dan Pentadbiran Awam), JPM; Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Penguatkuasaan) JPM, Pengiran Haji Muhammad Sazali bin Pengiran Haji Yakob; Timbalan Pesuruhjaya Polis, PPDB, Dato Seri Pahlawan Haji Mohd. Irwan bin Haji Hambali; Pengarah-pengarah; Timbalan-timbalan Pengarah; ketua-ketua bahagian; dan pegawai-pegawai kanan PPDB.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Other News
  

Pada menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan ini dimaklumkan bahawa Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengurniakan titah perkenan bagi Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan / Penolong Pengarah di Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman dilantik menjadi Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan.


Tarikh pelantikan pegawai berkenaan berkuat kuasa mulai Khamis, 26 Rabiulakhir 1440 Hijrah bersamaan 3 Januari 2019 Masihi.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto Radio Television Brunei

His Majesty News
  

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, dalam konteks hubungan dengan negara-negara rantau ASEAN, kita perlulah berusaha ke arah proses membangun Komuniti ASEAN itu sendiri, di mana dengan berbuat demikian, kita akan mampu untuk memastikan kejayaan bagi generasi masa kini dan akan datang.


Rantau ASEAN titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, sedang bergerak pantas ke arah pertumbuhan ekonomi, di mana ia dijangkakan menjadi kuasa keempat ekonomi terbesar dunia menjelang tahun 2030, maka ke arah itu, kita perlulah melipatgandakan lagi usaha memperkasa perdagangan intra-ASEAN.


Ini dinyatakan dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia sempena Menyambut Tahun Baharu Masihi 2019.


Langkah di dalam pula titah baginda, tidaklah kita abaikan, kita akan terus bergerak ke hadapan untuk menemui sasaran, dalam makna, keperluan negara dan rakyat adalah diutamakan.


''Kita melihat ini dengan kaca mata yang jauh untuk jangka panjang. Misalnya apabila kita bercakap mengenai dengan 'bumi hijau', yang kita maksudkan ialah ke arah mencapai sara diri dari hasil pertanian.


''Inilah sasaran atau matlamat yang ingin kita tuju. Kita akan kekalkan ia sehingga berjaya. Bagi pihak-pihak yang berkenaan di dalam kerajaan, hendaklah memahami perkara ini tanpa ada lagi sebarang alasan untuk mengabaikannya,'' titah baginda.


Baginda juga menekankan di mana kita mesti konsisten mara ke hadapan, bukan berundur ke belakang dan inilah namanya kita membangun dengan semangat juang.


Ini terang baginda amat penting bagi memastikan, bahawa bangsa tidak akan dipaliti oleh sindrom malas.


Kemudian berikutnya yang lebih utama titah baginda, di mana kita tidak akan lari daripada nilai-nilai luhur yang telah pun menjadi pegangan kita semenjak dari beratus tahun lagi dan nilai itu ialah konsep MIB.


''Akhirnya, bersukut dengan memasuki tahun baharu ini, beta menyeru rakyat dan penduduk supaya menguatkan lagi azam dan usaha untuk menjadi masyarakat yang lebih proaktif, produktif dan berintegriti dalam menghadapi cabaran-cabaran mendatang,'' titah baginda.


Pada kesempatan tersebut, Kebawah DYMM juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peringkat dalam Perkhidmatan Awam, pasukan-pasukan keselamatan dan sektor swasta, di atas usaha ikhlas mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing di sepanjang tahun 2018.


''Beta dan keluarga beta juga tidak lupa merakamkan ucapan Selamat Tahun Baharu Masihi 2019 kepada seluruh rakyat dan penduduk, sama ada yang berada di dalam atau di luar negara. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan melimpahkan rahmat-Nya berupa keteguhan iman, kesihatan, keamanan dan kemakmuran untuk semua,'' titah baginda.


Sumber Berita Pelita Brunei
Sumber Foto InfoFoto

His Majesty News
  

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Emperor Akihito, Emperor Jepun dan kepada Perdana Menteri Jepun, Tuan Yang Terutama Shinzo Abe serta kerajaan dan rakyat Jepun sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Emperor Akihito Yang Ke-85 Tahun.


Dalam titah perutusan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama rakyat Negara Brunei Darussalam ingin menyampaikan ucap selamat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Emperor Akihito, Emperor Jepun dan kerabat diraja serta kerajaan dan rakyat Jepun sempena menyambut perayaan yang bahagia ini.


Sementara itu, dalam titah perutusan yang sama kepada Perdana Menteri Jepun, Tuan Yang Terutama Shinzo Abe, baginda menyatakan Negara Brunei Darussalam dan Jepun menikmati persahabatan dan kerjasama yang erat dalam banyak bidang penting, dan seterusnya berharap akan dapat terus bekerja rapat dengan Tuan Yang Terutama demi mengukuhkan pertalian yang sangat berharga ini di tahun-tahun mendatang, baik dalam bidang dua hala, mahupun melalui rakan kongsi serantau ini dan antarabangsa.


Baginda mengakhiri titah-titah perutusan baginda itu dengan menyampaikan salam muhibah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Emperor Akihito dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Empress Michiko serta kerabat diraja semoga baginda berdua sentiasa berada di dalam kesihatan yang berpanjangan, dan begitu juga kepada Perdana Menteri Jepun, TYT Shinzo Abe dan rakyat Jepun bersempena perayaan tersebut.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto Radio Television Brunei

His Majesty News
  

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam (NBD), khususnya penuntut-penuntut yang berada di United Kingdom (UK) dan Ireland serta Penganugerahan Biasiswa The Chancellor's Scholar Universiti Brunei Darussalam (UBD). Majlis tersebut berlangsung di Hotel Hilton on Park Lane di London.


Turut berangkat mengiringi keberangkatan baginda berdua ialah paduka-paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.


Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri di Hotel Hilton on Park Lane dijunjung oleh Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke United Kingdom, Pengiran Hajah Rooslina Weti binti Pengiran Haji Kamaludin; Yang Di-Pertua Persatuan Penuntut-Penuntut NBD di UK dan Eire, Awangku Mohammad Hisyam Al-Yura bin Pengiran Haji Zainal Abidin dan Naib Yang Di-Pertua Persatuan berkenaan, Dayang Shaima'an Nabielah binti Abdul Rahman.


Sejurus keberangkatan tiba, baginda berdua dan kerabat diraja dijunjung berangkat ke Wellington Ballroom bagi Majlis Santap.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri kemudiannya dijunjung untuk menandatangani Buku Lembaran Kenangan dan seterusnya dijunjung bagi sesi bergambar ramai bersama para pegawai kanan Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di London dan Yang Di-Pertua dan Naib Yang Di-Pertua Persatuan Penuntut-Penuntut NBD di United Kingdom dan Eire, diikuti dengan sesi bergambar bersama bakal-bakal penerima Anugerah Biasiswa The Chancellor's Scholar UBD bersama keluarga masing-masing.


Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja kemudiannya dijunjung berangkat ke Grand Ballroom bagi Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk NBD, khususnya penuntut-penuntut yang berada di UK dan Ireland serta Penganugerahan Biasiswa The Chancellor's Scholar UBD.


Majlis dimulakan dengan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam oleh Persatuan Penuntut-Penuntut Brunei Cardiff dan Persatuan Keugamaan Penuntut-Penuntut Brunei, diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh penuntut dari Imperial College London, Awangku Muhamad Aqil bin Pengiran Jaya, manakala inti sarinya disampaikan oleh penuntut dari Queen's University Belfast, Awang Muhammad Shuib bin Sahralidin.


Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.


Pada majlis tersebut, Kebawah DYMM juga berkenan mengurniakan titah, di mana baginda menekankan supaya para pelajar, setelah menamatkan pengajian mereka nanti akan kembali ke tanah air untuk sama-sama memikul tanggungjawab membangun negara.


Titah baginda lagi bahawa masih terdapat dalam kalangan pelajar biasiswa kerajaan baginda yang tidak mengotakan janji, dengan mereka itu enggan pulang ke tanah air untuk menabur khidmat kepada negara dan perkara ini amatlah menyedihkan.


Pada majlis tersebut, baginda juga berkenan mengumumkan perubahan kadar Elaun Sara Hidup (termasuk Elaun Perjalanan) bagi penuntut yang belajar, khususnya di UK dan Ireland mulai 1 Januari 2019.


Terdahulu dalam sembah alu-aluan Yang Di-Pertua Persatuan Penuntut-Penuntut NBD di United Kingdom dan Eire, Awangku Mohammad Hisyam Al-Yura bin Pengiran Haji Zainal Abidin menyembahkan bagi mewakili rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam, khususnya penuntut-penuntut yang berada di UK dan Eire merafakkan sembah ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi ke hadapan majlis Kebawah DYMM.


Kebawah DYMM seterusnya dijunjung bagi mengurniakan Anugerah Biasiswa The Chancellor's Scholar UBD Sesi 2018 / 2019 kepada Dayang Adeline Poh Wem Jihn dalam jurusan Ph.D in Organic Chemistry, University of Oxford dan Dayang Siti Nurhazimah binti Awang Mahmud dalam jurusan MSc. Advanced Mechanical Engineering, Imperial College London.


Seterusnya, Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Yang Di-Pertua dan Naib Yang Di-Pertua Persatuan Penuntut-Penuntut NBD di UK dan Eire.


Majlis turut diserikan dengan beberapa pesembahan daripada Ahli-ahli Persatuan Penuntut-Penuntut NBD di UK dan Eire.


Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja kemudiannya berkenan berangkat bercemar duli bersama lebih daripada 1,700 rakyat dan penduduk NBD yang sedang berada di UK dan Ireland, terdiri daripada para penuntut di antara mereka yang datang dari Perancis, pegawai-pegawai kerajaan dan mereka yang sedang di dalam percutian.


Keberangkatan Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri jelas memperlihatkan keprihatinan baginda berdua terhadap kesejahteraan dan kebajikan para penuntut dan rakyat serta penduduk yang berada di UK dan Ireland.


Keberangkatan ini merupakan satu peluang keemasan kepada mereka untuk bersua muka dan beramah mesra bersama baginda berdua yang dikasihi, dan setentunya akan menjadi pencetus semangat kepada para penuntut untuk terus berjaya dalam pengajian masing-masing, di samping sentiasa memelihara tatasusila dan identiti sebagai orang Brunei yang sebati dan kaya dengan konsep Melayu Islam Beraja.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
His Majesty News
  


dpmmclosingrover.jpg

Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN Kali Pertama 2018 (1st ASEAN Rover Moot 2018) yang bermula pada 12 Disember lalu berjaya menghimpunkan belia-belia dari Bahagian Pengakap Kelana negara-negara ASEAN dengan menjalankan kegiatan-kegiatan yang memberikan faedah kepada para peserta, di samping memperkembangkan minda dan pengetahuan tentang kepimpinan yang dapat membina keyakinan diri mereka.

Sehubungan itu, Majlis Penutup Rasmi Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN Kali Pertama 2018 diserikan lagi dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Timbalan Sultan selaku Ketua Pengakap Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) pada majlis yang berlangsung di Pusat Belia di ibu negara.

Menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ialah Menteri Kesihatan selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar dan Yang Di-Pertua PPNBD, Awang Haji Matusin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba.

Majlis terdahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pemangku Pesuruhjaya Bahagian Keugamaan Ibu Pejabat PPNBD, Awang Muhammad Najib bin Abdul Hamid.

Seterusnya, Yang Di-Pertua PPNBD dalam sembah alu-aluannya, antara lain menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih di atas keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia bercemar duli ke majlis tersebut, seterusnya berkenan bagi mengurniakan sabda Pengisytiharan Penutupan Rasmi perhimpunan tersebut.

Sembahnya lagi, perhimpunan yang dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 12 Disember lalu telah sempurna dilaksanakan dengan jayanya mengikut atur cara dan perancangan yang disusun atur.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya PPNBD, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali selaku Kem Komandan dalam sembah Laporan Penutup Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN Kali Pertama 2018 menyembahkan sebanyak empat kategori kegiatan diadakan, yang menjurus kepada Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) sepertimana yang disarankan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan dipersetujui oleh negara-negara ahli pada bulan September 2015.

Kategori yang dijalankan sembahnya ialah kegiatan eksplorasi dan fizikal; kebudayaan dan seni; khidmat kemasyarakatan dan alam sekitar.

Pengendalian perhimpunan yang berkonsepkan Out-Reach itu sembahnya dijalankan serentak di keempat-empat daerah di negara ini dan memberikan kesempatan kepada para peserta untuk berinteraksi secara langsung dalam pelbagai bidang dalam kehidupan masyarakat di negara ini.

Para peserta sembahnya, dapat melihat, mengalami dan membuat sendiri apa yang mereka lihat dan dengar.

Pada majlis penutup rasmi tersebut, DYTM berkenan menyempurnakan Penganugerahan Anugerah Pengakap Sultan, Anugerah Baden Powell dan Anugerah Pengakap Sedunia.

Anugerah Pengakap Sultan dianugerahkan kepada 12 Ahli Pengakap Remaja (Venture Scout) PPNBD, yang mana anugerah tersebut merupakan anugerah tertinggi bagi Bahagian Pengakap Remaja dan para penerima Lencana Pengakap Sultan adalah mereka yang layak dan diiktiraf oleh PPNBD setelah lulus kursus menjalani beberapa ujian, antaranya ialah Kursus Kepimpinan Pengakap Remaja, Kursus Pertolongan Kecemasan serta membuat perkhidmatan masyarakat melebihi masa 48 jam.

Manakala lapan Ahli Pengakap Kelana menerima Anugerah Baden Powell yang julung kali diberikan kepada Ahli-ahli PPNBD, yang mana kriteria bagi para penerima anugerah tersebut ialah lulus empat lencana dalam Skim Latihan Pengakap Kelana, termasuk Lencana Kenegaraan yang menjurus kepada falsafah Melayu Islam Beraja, selain itu mereka juga perlu lulus lencana-lencana yang menjurus kepada fizikal; kemahiran pengakap dan kemahiran hidup; keusahawanan; dan perkhidmatan.

Manakala, lima Ahli Pengakap Kelana menerima Anugerah Pengakap Sedunia (Scouts of the World Award - SWA) yang julung kali diadakan, yang mana anugerah tersebut merupakan program Pergerakan Pengakap Sedunia (World Organization of Scout Movement - WOSM) yang difokuskan bagi Bahagian Pengakap Kelana di seluruh dunia dan terdiri daripada tiga perkara teras, iaitu alam sekitar, pembangunan dan keamanan.

SWA dilancarkan untuk menggalakkan penglibatan yang lebih aktif para Ahli Pengakap Kelana yang berumur 18 - 26 tahun dalam pembangunan masyarakat dengan menjadikan mereka lebih peka tentang isu-isu global mengenai dunia hari ini, selain itu, ia juga memberikan para belia satu platform bagi menjadi warga global.

DYTM juga berkenan menyempurnakan Penganugerahan Sijil Penyertaan kepada kontinjen yang menyertai perhimpunan berkenaan.

Seterusnya, DYTM berkenan mengurniakan sabda Pengisytiharan Penutup Rasmi Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN Kali Pertama 2018 dan berkenan menerima pesambah.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Pemangku Pesuruhjaya Bahagian Keugamaan Ibu Pejabat PPNBD.

Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN Kali Pertama 2018 menghimpunkan kira-kira 350 orang peserta yang berusia 18 hingga 26 tahun dari negara ASEAN dan rantau Asia Pasifik termasuk Negara Brunei Darussalam (NBD), Filipina, Indonesia, Kemboja, Malaysia, Singapura, Thailand dan Viet Nam.

Perhimpunan yang membawa tema 'Satu ASEAN, Satu Masyarakat di dalam Berpengakap' (One ASEAN, One Community in Scouting) adalah bersempena Sambutan 100 Tahun Pengakap Kelana Sedunia dan Sambutan 85 Tahun Pergerakan Pengakap di NBD, antara lain bertujuan untuk membentuk keperibadian sahsiah diri dan jati diri generasi belia di dalam menjalankan kegiatan kemasyarakan, mengeratkan dan mengukuhkan lagi jalinan hubungan silaturahim dalam kalangan para peserta.

Selain itu, para peserta juga dapat mengongsikan pengetahuan dan pengalaman, di samping dapat berinteraksi secara langsung dalam kalangan para Ahli Pengakap Kelana semasa menyertai perhimpunan tersebut, seterusnya dapat memperkenalkan sosio budaya di antara negara dan memperkenalkan NBD sebagai satu destinasi pelancongan juga menambah ekonomi negara.

Setentunya dengan keberangkatan DYTM ke Majlis Penutup Rasmi Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN Kali Pertama 2018 itu mencerminkan sikap prihatin dan pemedulian DYTM kepada Ahli-ahli PPNBD.


Sumber berita Pelita Brunei

Sumber foto InfoFoto


Senior Minister News
  

​Pada menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dengan ini dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengurniakan titah perkenan ke atas pertukaran nama Kementerian Perhubungan menjadi Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Dalam pada itu juga, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengurniakan titah perintah bagi pelantikan pegawai-pegawai kanan berikut untuk menjadi Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap:

1)Pengarah Penerbangan Awam, Yang Mulia Awang Haji Muhammad Nazri bin Haji Muhammad Yusuf, menjadi Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi;

2)Pengarah Pengangkutan Darat, Yang Mulia Pengiran Mohd. Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud menjadi Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan, Penyelidikan dan Perkembangan), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi;

3)Ketua Pos Agung, Yang Mulia Awang Haji Hairul Mohd. Daud bin Haji Abdul karim menjadi Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi, Cybersecurity, Strategi dan Korporat), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; dan

4) Yang Mulia Pengiran Haji Mohd. Zain bin Pengiran Haji Abdul Razak menjadi Ketua Pegawai Eksekutif AITI bertaraf Timbalan Setiausaha Tetap.

Tarikh pertukaran nama kementerian dan pelantikan pegawai-pegawai berkenaan berkuatkuasa mulai Sabtu, 7 Rabiulakhir 1440 bersamaan 15 Disember 2018.

Sumber berita Pelita Brunei

His Majesty News
  


hm121218.jpg

Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) buat julung kalinya melakar sejarah dengan diberi penghormatan dan kepercayaan menjadi tuan rumah dan pelaksana bagi Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN Kali Pertama 2018 (1st ASEAN Rover Moot 2018 – 1st ARM) yang bermula hari ini sehingga 17 Disember nanti.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Penaung PPNBD dan Penaung Kehormat Pengakap Sedunia (Honorary Patron of World Scouting) berkenan berangkat merasmikan Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN Kali Pertama 2018 yang berlangsung di Pusat Belia di ibu negara hari ini.

Berangkat sama paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Ketua Pengakap PPNBD; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

Menjunjung keberangkatan Kebawah DYMM berserta paduka-paduka anakanda dan adinda baginda ialah Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar; Yang Di-Pertua PPNBD, Awang Haji Matusin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba dan Ketua Pesuruhjaya PPNBD, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali.

Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN Kali Pertama 2018 yang diadakan ini bertepatan dengan Sambutan 85 tahun Pergerakan Pengakap di Negara Brunei Darussalam (NBD) yang juga merupakan sambutan 100 Tahun Penubuhan Pergerakan Pengakap Kelana Sedunia (1918 - 2018), yang menghimpunkan kira-kira lebih dari 300 pengakap kelana dari negara ASEAN dan juga beberapa negara dari rantau Asia Pasifik yang berusia antara 18 hingga 26 tahun.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pemangku Pesuruhjaya Bahagian Keugamaan Ibu Pejabat PPNBD, Awang Muhamad Najib bin Abdul Hamid.

Seterusnya diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Di-Pertua PPNBD, Awang Haji Metusin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba.

Pada majlis perasmian tersebut, Kebawah DYMM berkenan mengurniakan titah Pengisytiharan Pembukaan Rasmi Pengakap Kelana ASEAN Kali Pertama 2018.

Seterusnya baginda berkenan menyempurnakan Penganugerahan Bintang-Bintang Tertinggi Pengakap NBD kepada Pemimpin-Pemimpin Pengakap dari dalam dan luar negara dan Anugerah Persahabatan Antarabangsa PPNBD (Brunei International Friendship Award) yang diberikan khusus kepada Pemimpin-pemimpin Pengakap dari luar negara.

Pada majlis penganugerahan itu, seramai dua orang penerima yang telah memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan terlibat secara langsung dalam pergerakan pengakap di negara ini dianugerahkan Bintang Rakis yang merupakan bintang kedua tertinggi dalam PPNBD yang dianugerahkan kepada Mantan Pesuruhjaya Latihan, Awang Haji Yahya bin Haji Yusof dan Naib Yang Dipertua II, PPNBD, Haji Awang Damit bin Haji Awang Chuchu.

Sementara Anugerah Bintang Jasa Cemerlang Kelas I – Emas (1st Class Meritorius Award – Gold) dianugerahkan kepada Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali.

Manakala, Anugerah Bintang Jasa Cemerlang Kelas II – Perak (2nd Class Meritorius Award – Silver) dianugerahkan kepada tiga orang ahli PPNBD yang telah memberikan perkhidmatan cemerlang dan pergerakan pengakap di negara ini dan di peringkat antarabangsa terdiri dari Pengurus Projek Penanaman Pokok, PPNBD, Awang Haji Othman bin Durani; Ketua Pegawai Eksekutif, Awang Haji Mohd. Zali bin Haji Arsad dan Mantan Setiausaha Agung, Awang Haji Zainuddin bin Haji Jaafar.

Baginda juga berkenan menganugerahkan Brunei International Friendship Award kepada tiga penerima dari Rantau Asia Pasifik terdiri dari Chairman of Asia-Pacific Regional Scout Committee, World Scout Bureau Asia-Pacific Support Centre, Encik Ahmad Rusdi; Director, World Scout Bureau Asia-Pacific Support Centre, Mr. Thian Hiong Boon dan Director, Publication, World Scout Bureau Asia-Pacific Support Centre, Ms. Luz Taray.

Brunei International Friendship Award juga turut dianugerahkan kepada perwakilan-perwakilan dari Persekutuan Pengakap Malaysia, dan Gerakan Pramuka Indonesia diikuti dengan penyampaian cenderamata kepada Ketua-ketua Kontinjen yang menyertai Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN Kali Pertama 2018.

Sejurus itu, baginda kemudian berkenan menerima pesambah dan sebelum berangkat meninggalkan majlis, baginda berserta kerabat diraja yang lain dijunjung untuk sesi bergambar ramai bersama para peserta Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN Kali Pertama 2018.

Perhimpunan kali ini menghimpunkan ahli-ahli Pengakap Kelana (Rover Scout) dari tujuh buah negara ASEAN terdiri dari NBD, Malaysia, Republik Indonesia, Republik Singapura, Republik Filipina, Thailand dan Republik Sosialis Viet Nam.

Antara objektif yang akan dicapai selepas perhimpunan ini selesai dijalankan ialah membentuk keperibadian sahsiah diri dan jati diri generasi belia di dalam menjalankan kegiatan kemasyarakatan, di samping dapat mengeratkan dan mengukuhkan lagi jalinan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli Pengakap Kelana NBD dengan ahli Pengakap Kelana di Rantau ASEAN dan juga Rantau Asia Pasifik.

Melalui perhimpunan ini juga turut mengongsikan pengetahuan dan pengalaman, di samping dapat berinteraksi secara langsung di kalangan ahli-ahli Pengakap Kelana, selain dapat memperkenalkan sosio budaya antara kalangan negara sekali gus dapat memperkenalkan NBD sebagai satu destinasi pelancongan, di samping menambah ekonomi negara.

NBD khususnya PPNBD melalui penganjuran Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN Kali Pertama 2018 ini bersama-sama dengan 50 juta ahli-ahli pengakap di seluruh dunia bersama-sama menjalankan program-program yang menjurus kepada Matlamat Pembangunan Mapan / Sustainable Development Goals (SDGs).

Terdapat empat komponen program semasa Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN Kali Pertama 2018 ini dijalankan antaranya kegiatan atau aktiviti Eksplorasi; Kerja-kerja Kemasyarakatan (Community Service); Budaya (Culture) dan Alam Sekitar (Environment).

Para peserta akan dibahagikan di keempat-empat daerah, di mana setiap daerah akan meyediakan program yang menarik mengikut komponen yang telah disusun oleh PPNBD sesuai dengan tema perhimpunan iaitu Satu ASEAN Satu Masyarakat Dalam Berpengakap (One ASEAN One Community In Scouting).

Di antara program yang akan dilaksanakan ialah Projek Alam Sekitar di Kampung Sungai Mau, Daerah Belait iaitu penanaman pokok-pokok di kawasan yang ditetapkan; Eksplorasi BSB dan Nature Hike, kayak, 'flying fox', 'abseiling'; program-program dan kerja-kerja kemasyarakatan di antara penduduk-penduduk kampung di mana para peserta tersebut berkampung; pertukaran budaya / perkongsian budaya puak-puak di NBD kepada peserta luar negara; dan perkongsian idea dan pendapat mengenai  program atau kegiatan pengakap yang menjurus kepada Matlamat Pembangunan Mapan /Sustainable Development Goals (SDGs).


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

His Majesty News
  


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Penanaman Varieti Padi Hibrid Berhasil Tinggi (High Yielding Hibrid Variety Paddy) di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Wasan, Mukim Pengkalan Batu sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-72 Tahun.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Wasan, Mukim Pengkalan Batu dijunjung oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong; Setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP).

Berangkat sama Kebawah DYMM ialah paduka-paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

Sejurus keberangkatan, Kebawah DYMM dijunjung untuk mendengar sembah taklimat daripada Juruekopertanian, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Dayang Khairunnisa binti Haji Omar Ali; Pengerusi Koperasi Setia Kawan (KOSEKA), Lt. Kol. (B) Awang Haji Mohd. Shahlan bin Hidup dan Ketua Ladang Projek Penanaman Padi, Majlis Perundingan Mukim (MPM) Pengkalan Batu, Awang Haji Yakub bin Haji Othman.

Bagi memberkati majlis, acara didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Kebawah DYMM seterusnya berkenan mengurniakan Titah Perasmian bagi menyempurnakan Perasmian Penanaman Varieti Padi Hibrid Berhasil Tinggi (High Yielding Hibrid Variety Paddy) dan kemudiannya dijunjung berangkat untuk menanam Padi Hibrid Berhasil Tinggi di Ladang KOSEKA dengan menggunakan mesin jentera penanaman padi (paddy transplanter).

Mengiringi Kebawah DYMM semasa penanaman Padi Hibrid Berhasil Tinggi tersebut adalah laungan Selawat Ibrahimiyah beramai-ramai ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang dipimpin oleh penuntut-penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB).

Kebawah DYMM kemudian berkenan bergambar ramai dan beramah mesra bersama pengusaha-pengusaha padi sebelum berangkat ke Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) - Kampus Agroteknologi di Kampung Wasan bagi Majlis Santap Tengah Hari.

Terdahulu, Kebawah DYMM berkenan berangkat ke beberapa kawasan ladang-ladang tanaman dan ternakan untuk menyaksikan kepelbagaian kaedah serta teknologi pertanian yang digunakan oleh para pengusaha tempatan di tiga ladang atas kawasan yang sama, iaitu di Pusat Penyelidikan Pertanian Brunei, Kampung Kilanas.

Ladang pertama ialah ladang yang diusahakan di bawah Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ) yang dikelolakan oleh Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).

Keberangkatan tiba Kebawah DYMM di Ladang PROPAZ dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Yang Di-Pertua MUIB dan Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong.

Seterusnya Kebawah DYMM berkenan berangkat ke Ladang RZ Prisma Enterprise yang merupakan salah satu Projek Rintis di bawah kelolaan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.

Keberangkatan tiba Kebawah DYMM di ladang tersebut dijunjung oleh Pengurusnya, Pengiran Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahman bin Pengiran Seri Indera Pengiran Haji Ismail.

Ladang ketiga lawatan baginda ialah ke Ameenfarm Agrotech and Trading yang juga merupakan salah satu Projek Rintis di bawah kelolaan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.

Keberangkatan tiba Kebawah DYMM dijunjung oleh Pengurusnya, Awang Haji Irwandy bin Haji Lois.

Baginda meneruskan lawatan ke Ladang Perusahaan Riza Fudhlana Farming di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Tanah Tuah Kulapis.

Keberangkatan tiba Kebawah DYMM di sana dijunjung oleh Pengurusnya, Pengiran Haji Haris bin Pengiran Haji Duraman. 

Ladang Syarikat Tunas Harapan dan Hua Ho Agricultural Farm Sendirian Berhad di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Sibongkok, Kampung Masin juga menjadi tumpuan lawatan baginda.

Keberangkatan tiba baginda di ladang tersebut dijunjung oleh Pengurusnya, Lau How Teck.

Turut hadir pada majlis perasmian, Yang Berhormat Menteri-menteri Kabinet, Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampung Limau Manis, Mukim Pengkalan Batu, Timbalan-timbalan Menteri, para perwakilan asing ke negara ini serta peladang-peladang padi di KKP Wasan.

Majlis Perasmian Penanaman Varieti Padi Hibrid Berhasil Tinggi bertujuan untuk menandakan satu lagi perkembangan baharu dalam usaha KSSUP bagi meningkatkan pengeluaran padi dan bagi meningkatkan tahap sara diri bekalan beras negara.

Pada hari ini, varieti padi yang diperkenalkan adalah dikenali sebagai Padi Sembada188, yang merupakan varieti padi yang dikenal pasti melalui kerjasama penyelidikan di antara Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dengan Syarikat PT. Biogene Plantation dari Republik Indonesia yang telah dijalankan selama tiga musim bermula dari Mei 2016 dan berakhir pada Mac 2018.

Melalui kajian tersebut, Padi Sembada188 mempunyai purata hasil sebanyak 5.0 - 6.0 tan metrik sehektar semusim.

Benih Padi Sembada188 telah diimport daripada Republik Indonesia melalui Yaz & Wyn Enterprise, yang mana merupakan syarikat perusahaan bumiputera yang telah dilantik menjadi pengedar tunggal bagi Negara Brunei Darussalam.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


His Majesty News
  


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah perutusan tahniah kepada Presiden Republik Turki, Tuan Yang Terutama Recep Tayyip Erdogan, kerajaan serta rakyat Republik Turki bersempena dengan Hari Republik negara tersebut.

Dalam titah perutusan kepada TYT Recep Tayyip Erdogan, Kebawah DYMM sangat menghargai persahabatan yang rapat lagi mesra yang telah dinikmati oleh kedua-dua buah negara, melalui kerjasama yang aktif di antara rakyat masing-masing dalam pelbagai bidang dan berharap terus berpeluang memperluaskan perhubungan yang penting ini.

Baginda mengakhiri titah perutusan tahniah tersebut dengan menyampaikan salam muhibah kepada TYT Recep Tayyip Erdogan dan semoga TYT berada dalam kesihatan dan kebahagiaan yang berpanjangan.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
His Majesty News
  


Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman  berangkat menghadiri Majlis Santap Malam Rasmi yang dihoskan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Koordinasi Bagi Keselamatan Nasional Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Teo Chee Hean dan isteri, Puan Teo Poh Yoh Yim.

Majlis Santap Malam tersebut diadakan di Pan Pacific Hotel.

Mengiringi DYTM dan YTM ialah Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Hal Ehwal Luar, Dr. Mohamad Maliki Osman selaku Menteri Pengiring dan isteri, Puan Sadiah Sahal.

Keberangkatan tiba DYTM dan YTM di Pan Pacific Hotel dijunjung oleh TYT Teo Chee Hean dan isteri.

DYTM dan YTM kemudian berkenan mengadakan perjumpaan bersama TYT Teo Chee Hean dan isteri sebelum dijunjung beredar ke Philippine Room bagi Majlis Santap Malam Rasmi.

Sebelum mengakhiri Majlis Santap Malam Rasmi tersebut, DYTM dan YTM berkenan bergambar ramai bersama-sama TYT Teo Chee Hean dan isteri.

Hadir di Majlis Santap Malam itu ialah Menteri Kewangan, Tuan Yang Terutama Heng Swee Keat; Menteri Pendidikan, Tuan Yang Terutama Ong Ye Kung; Menteri Negara Kanan bagi Kementerian Komunikasi dan Penerangan, Puan Sim Ann; Menteri Negara Kanan bagi Kementerian Perdagangan dan Industri dan Kementerian Pendidikan, Tuan Chee Hong Tat dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Lim Hong Huay serta pegawai-pegawai kanan Republik Singapura.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah dan Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Haji Awang Saifulbahri bin Haji Awang Mansor dan isteri.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
Senior Minister News
  


Masjid adalah ibarat rumah Allah, dan sesungguhnya menghadirkan diri beribadah ke masjid serta mendirikan sembahyang secara berjemaah itu mempunyai kelebihan darjat berbanding sembahyang secara perseorangan.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Da'ie Pusat Dakwah Islamiah, Dr. Ustaz Haji Ismuhadi bin Haji Abdullah semasa menyampaikan Tazkirah Subuh bertajuk 'Memakmurkan Masjid Mendatangkan Reda Illahi'.

"Dengan sembahyang berjemaah juga, kita akan sentiasa mendapat reda Allah Subhanahu Wata'ala dan dijauhkan daripada segala bala atau malapetaka," tambahnya.

Dr. Ustaz Haji Ismuhadi turut menyeru para jemaah untuk sentiasa melakukan sembahyang fardu lima waktu secara berjemaah, kerana ia adalah merupakan sunnah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang terbesar.

Sesi tazkirah tersebut merupakan sebahagian daripada intipati Program Masjidku Makmur, Negara Berkat di Masjid Omar 'Ali Saifuddien minggu ini yang dikendalikan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan sokongan Jabatan Perdana Menteri.

Ia merupakan program mingguan yang mengalu-alukan jemaah meningkatkan kehadiran bagi memakmurkan masjid dan seterusnya bersama-sama secara istiqamah (berterusan) mendirikan Sembahyang Fardu Subuh secara berjemaah di awal waktu di masjid.

Selain itu, program ini turut memberikan peluang kepada para pengunjung Bandarku Ceria untuk memulakan langkah dan keceriaan hari mereka dengan meraih keberkatan melalui penyertaan menunaikan tuntutan sembahyang fardu secara berjemaah dan merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid-wirid selepas sembahyang.

Hadir bersama-sama jemaah masjid bagi menjayakan program tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Setiausaha Tetap, Jabatan Perdana Menteri, Awang Haji Roslan bin Haji Taja'ah dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
Other News
  


Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri  Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman berkenan berangkat menyaksikan Kejohanan Badminton Terbuka Brunei 2018 yang berlangsung di Dewan Serbaguna, The Centrepoint, Gadong.

Turut menyertai kejohanan tersebut ialah anakanda Duli Yang Teramat Mulia, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim. 

Juga berangkat menyaksikan kejohanan tersebut ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah.

Pada kejohanan bagi hari keenam ini, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim berjaya menewaskan Hung Wei Li bagi Kategori Perseorangan Lelaki Di Bawah Umur 14 Tahun dengan Straight Set.

Pada set pertama, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim menguasai perlawanan dengan mata 21 - 14 manakala pada set kedua, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim berjaya mendahului lawannya dengan mata 21 - 17.

Sementara itu, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim semalam berjaya menumpaskan Mohd. Daffa Dany bin Ali Hussin dengan mata 21 - 9, 21 - 18 pada peringkat awal kejohanan untuk mara ke peringkat suku akhir hari ini.

Kejohanan pada malam ini turut menyaksikan perlawanan bagi Kategori Beregu Lelaki B, Kategori Perseorangan Lelaki Di Bawah 18, Kategori Beregu Campuran, Perseorangan Lelaki Di Bawah Umur 14 Tahun, Kategori Beregu Lelaki A, Kategori Beregu Perempuan dan Kategori Beregu Veteran.

Seramai 366 pemain tempatan dan luar negara ikut serta bagi merebut juara Kejohanan Badminton Terbuka Brunei 2018.

Kejohanan yang berlangsung selama lapan hari bermula 18 sehingga 25 Ogos itu merupakan anjuran West Lake Tyres.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Senior Minister News
  


Pelaksanaan ibadah korban adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan sebagai tanda kesyukuran di atas segala nikmat kurniaan-Nya selain dapat melatih umat Islam dalam mengeluarkan harta bagi membantu golongan memerlukan seperti golongan fakir dan miskin 

Seperti tahun-tahun yang sudah, bagi mengimarahkan lagi Sambutan Hari Raya Aidiladha, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam  dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam serta kerabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga turut melaksanakan ibadah korban dengan mengagih-agihkan daging-daging kepada asnaf fakir miskin di negara ini.

Pada tahun ini, seramai 7,567 orang asnaf fakir dan miskin di seluruh negara menerima agihan daging-daging korban sunat tersebut.

Sehubungan itu, Majlis Ibadah Korban Sunat Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta Kerabat Baginda dan Sambutan Hari Raya Aidiladha Bagi Tahun 1439 Hijrah / 2018 Masihi diraikan hari ini di Istana Nurul Iman.

Keberangkatan Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta  kerabat diraja yang lain dijunjung oleh Pengerusi Bersama dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Ibadah Korban Sunat Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta Kerabat Baginda dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha di Istana Nurul Iman Bagi Tahun 1439 Hijrah / 2018 Masihi. 

Berangkat sama paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah DYMM, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda  Mahkota  Pengiran  Muda  Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran  Raabi'atul 'Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah. 

Juga berangkat ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Noor Ehsani serta kerabat diraja yang lain.

Sebelum majlis dimulakan, takbir Hari Raya dilaungkan oleh seramai 100 orang yang terdiri daripada wakil-wakil Jabatan-jabatan kerajaan, guru-guru ugama, mahasiswa-mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi, pasukan beruniform, kumpulan-kumpulan belia dan persatuan-persatuan.

Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dipersembahkan oleh Awang Mohd. Marzuqi bin Haji Anuar, Siswa Diploma 'Aliyah Qira'at Tahun 1, yang pernah mewakili negara ke Anugerah Antarabangsa Membaca Al-Quran Mohammed VI Kali Ke-11 di Casablanca, Magribi Tahun 2015, manakala Intisari ayat dibacakan oleh Tenaga Pengajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Mohd. Najib bin Haji Aliakbar.

Di antara intisari dan pengajaran daripada ayat-ayat yang dibacakan itu ialah orang yang berniat ihram untuk mengerjakan ibadah haji tidak boleh mencampuri isterinya, tidak boleh berbuat maksiat dan tidak boleh bertengkar.

Selain itu, orang yang ingin mengerjakan haji dituntut menyediakan bekal secukupnya untuk keluarga yang ditinggalkan, untuk dirinya semasa di tanah suci dan setelah kembali ke tanah air serta ditegah daripada meminta-minta.

Di antara amalan yang perlu diperbanyakkan dan diperkasa oleh umat Islam semasa menyambut Hari Raya Aidiladha dan hari-hari tasyrik ialah sentiasa mengingat Allah Subhanahu Wata'ala dengan lafaz talbiah, tahmid, berdoa, bertahlil, bertasbih dalam beribadat beristighfar memohon keampunan kepada Allah Subhanahu Wata'ala yang sifatnya Maha Pengampun lagi Maha Pengasih dan berdoa kepadaNya.

Seterusnya Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri  berkenan mengurniakan daging ibadah korban kepada 100 orang penerima khas (50 orang lelaki dan 50 orang perempuan) yang terdiri daripada asnaf fakir dan miskin dari keempat-empat daerah.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned. 

Pada tahun ini, sebanyak 158 ekor lembu, dan 14 ekor kambing dikorbankan, dan sebahagian daging ibadah korban sunat tersebut diagihkan kepada  asnaf fakir dan miskin di seluruh negara, yang terdiri daripada ketua keluarga serta tanggungannya iaitu 4,437 orang di Daerah Brunei dan Muara, 1,613 orang di Daerah Belait, 1,258 orang di Daerah Tutong, dan 259 orang di Daerah Temburong.

Kira-kira 6000  jemputan hadir bagi sama-sama memeriahkan Sambutan Hari Raya Aidiladha di Istana Nurul Iman terdiri daripada Kementerian-Kementerian, Jabatan-jabatan kerajaan, pasukan beruniform, Institusi Pengajian Tinggi dan pelajar-pelajar sekolah ugama, kumpulan-kumpulan belia dan persatuan-persatuan. 

Majlis Ibadah Korban Sunat dan Sambutan Hari Raya Aidiladha di Istana Nurul Iman adalah satu lagi wawasan Kebawah DYMM mencontohkan kepentingan meningkatkan syiar Islam dan penghayatan beragama menurut cara dan calak KeBruneian kita.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
His Majesty News
  


Majlis Ibadah Korban Sunat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti  Al-Marhum  Pengiran  Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam serta Kerabat Baginda diadakan sejurus selepas Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha 1439H di perkarangan Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia  ke kawasan tempat majlis penyembelihan dijunjung oleh Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Pada majlis tersebut, sebanyak tujuh ekor kambing disempurnakan penyembelihannya dan Kebawah DYMM berkenan menyembelih seekor kambing diikuti paduka-paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik.

Juga berangkat menyaksikan penyembelihan berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Penyembelihan binatang-binatang korban Kebawah DYMM dan kerabat baginda yang selebihnya disempurnakan di Pusat Penyembelihan Mulaut Abattoir Sdn. Bhd.

Pada tahun ini, sebanyak 158 ekor lembu, dan 14 ekor kambing dikorbankan, dan sebahagian daging ibadah korban sunat tersebut diagihkan kepada seramai 7,567 orang asnaf fakir dan miskin di seluruh negara, yang terdiri daripada ketua keluarga serta tanggungannya iaitu 4,437 orang di Daerah Brunei dan Muara, 1,613 orang di Daerah Belait, 1,258 orang di Daerah Tutong, dan 259 orang di Daerah Temburong.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
His Majesty News
  

Negara mestilah berwaspada terhadap ancaman siber baharu yang sentiasa muncul, termasuklah peningkatan fraud dan pembersihan wang haram yang dilakukan melalui teknologi dalam talian, penggunaan internet dan media sosial oleh pengganas dan pelampau untuk menyebarkan propaganda mereka dan mempermudah pengambilan dan penyebaran maklumat yang salah dan kekeliruan melalui berita palsu yang akan membahayakan kepaduan sosial dan menjejaskan keselamatan negara.


Perkara tersebut antara yang ditekankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud, selaku tetamu kehormat pada Majlis Perasmian Persidangan Ketua-Ketua Pendakwa China-ASEAN ke-11 (CAPGC Ke-11) anjuran Pejabat Peguam Negara yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun,Gadong.


Dalam ucapannya pada majlis perasmian persidangan bertemakan "Meningkatkan Keupayaan dan Kerjasama dalam Menangani Jenayah Siber" itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti menyatakan, jenayah di ruang siber terus menarik kerana sifatnya yang cepat, tanpa nama dan tanpa sempadan.


Yang Berhormat berkata, berita palsu adalah berupa ancaman yang bukan sahaja kepada kerajaan tetapi juga kepercayaan masyarakat antara satu sama lain.


Cabaran terbesar jelas Yang Berhormat adalah untuk menjamin kredibiliti dan kebolehpercayaan sumber maklumat dan kreativiti manusia telah dieksploitasi untuk memesongkan kebenaran dan mencipta cerita-cerita palsu dengan matlamat untuk sengaja menyesatkan masyarakat demi pelbagai kepentingan dan tujuan.


Dalam usaha untuk menentang perkara itu, Yang Berhormat Menteri di JPM menegaskan keperluan untuk pendidikan di semua peringkat mengenai penggunaan teknologi digital yang bertanggungjawab, peningkatan keselamatan data untuk menggurangkan risiko orang ramai menjadi mangsa penipuan internet serta keperluan untuk mengadakan "Collective ASEAN Way" yang melibatkan pembekal media kerana ASEAN dapat memanfaatkan pautan komunikasi yang mantap dalam memerangi penyalahgunaan data.


Yang Berhormat seterusnya menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam (NBD) terus memberikan perhatian yang amat berat terhadap ancaman jenayah siber dengan terus mengambil usaha yang signifikan bagi memastikan negara ini dan penduduknya dilindungi.


Menggariskan beberapa usaha negara, termasuk penubuhan Brunei Darussalam National Cyber Security Framework in 2017 (Rangka Kerja Keselamatan Siber Kebangsaan Brunei Darussalam pada tahun 2017) dan NBD menjadi negara pertama di rantau ini untuk mewujudkan Child Online Protection Framework (Rangka Kerja Perlindungan Talian Kanak-kanak), Yang Berhormat turut menegaskan satu rangka kerja perundangan yang kukuh dalam apa jua strategi negara dalam menangani jenayah siber adalah sangat penting.


Di samping itu, Yang Berhormat juga melahirkan penghargaan ke atas beberapa usaha Pejabat Peguam Negara dalam memerangi jenayah siber seperti penubuhan AGC Cybercrime Focus Group (Kumpulan Tumpuan Jenayah Siber AGC) dan ceramah-ceramah kesedaran awam yang berterusan yang bertujuan untuk mendidik generasi muda dan menyebarkan mesej pencegahan.


Terdahulu dalam ucapan alu-aluan majlis, Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Hj Hairol Arni bin Haji Abdul Majid, menjelaskan Pejabat Peguam Negara giat memastikan bahawa langkah-langkah perundangan yang sesuai telah disediakan untuk menangani sebarang isu yang berkaitan dengan jenayah merentas sempadan, termasuk jenayah siber dan juga memastikan pelakunya dibawa ke muka pengadilan.


Beliau menyatakan sejak tahun 2011, 14 kesalahan berkaitan dengan jenayah siber khususnya kesalahan yang berkaitan dengan media sosial seperti fitnah, menyebarkan maklumat palsu dan memuat naik media lucah dalam pelbagai platform media sosial telah berjaya didakwa di mahkamah.


Beliau juga menyatakan bahawa sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Bahagian Keadilan Jenayah, Pejabat Peguam Negara dalam menangani kes-kes kesalahan media sosial dengan adil dan berkesan, Pejabat Peguam Negara telah membuat garis panduan pada Januari 2017.


Yang Berhormat juga menjelaskan bagi membolehkan rangka kerja perundangan berkenaan dengan jenayah siber menjadi kuat dan mantap, ia perlu disokong dengan modal insan yang berkeupayaan termasuk kepentingan untuk membina kepakaran dalam usaha ini.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Other News
  

Pasukan Kementerian Pertahanan dinobatkan sebagai juara setelah berjaya menewaskan 11 pasukan lain dalam Kategori Lumba Perahu Tradisi di antara Kementerian-Kementerian 25 Pekayuh dengan catatan masa 4 minit 40 saat pada perlumbaan Acara Regata Brunei Darussalam (RBD) 2018 bertempat di Dermaga Diraja, di sini.


Pasukan Kementerian Pertahanan berjaya membawa pulang piala dan wang tunai berjumlah BND900.00, sementara menduduki tempat kedua, pasukan Jabatan Perdana Menteri dengan catatan masa 4 minit 46 saat, menerima piala juga wang tunai BND800 dan berada di tempat ketiga ialah Kementerian Pembangunan dengan mencatatkan masa 5 minit 12 saat, sekali gus membawa pulang wang tunai BND600.00 berserta piala.


Berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah pada perlawanan-perlawanan yang berlangsung sesi pagi tadi ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.


Dalam acara Lumba Perahu Fiberglass Syarikat-Syarikat Swasta 20 Pekayuh, juara disandang oleh pasukan Setia Protective Security Services (SPSS) dengan mencatatkan masa terpantas mereka 5 minit 36 saat, sekali gus berjaya membawa pulang piala dan wang tunai berjumlah BND900.00.


Tempat kedua dalam kategori yang sama ialah TelBru dengan catatan masa 5 minit 58 saat berjaya menerima piala juga wang tunai BND800.00 dan di tempat ketiga pula jatuh kepada Royal Brunei (RB) yang mencatatkan masa 6 minit 7 saat menerima wang tunai BND600.00 berserta piala.


Manakala dalam Kategori Lumba Perahu Tradisi Terbuka 30 Pekayuh, johan disandang oleh pasukan jemputan dari negara jiran, Laksamana Seri Sinampuan Lawas Sarawak yang berjaya menewaskan lima pasukan lain dengan mencatatkan masa terpantas mereka 5 minit 06 saat, sekali gus berjaya memenangi piala dan wang tunai berjumlah BND1,000.00.


Menduduki tempat kedua Majlis Sukan ABDB yang mencatatkan masa 5 minit 08 saat dengan berjaya meraih wang tunai BND800.00 berserta piala dan berada di tempat ketiga ialah Pasukan Olahraga Dayung Seluruh Indonesia Kalimantan Barat (PODSI Kalbar) yang mencatatkan masa 5 minit 9 saat dan berjaya menerima wang tunai BND800.00 berserta piala.


Terdahulu acara pada awal sebelah pagi turut menyaksikan tiga kategori perlumbaan, yang mana pasukan Daerah Temburong dinobatkan sebagai juara dalam acara Kategori Lumba Perahu Fiberglass Daerah-Daerah 20 Pekayuh dengan catatan masa terpantasnya 5 minit 39 saat, sekali gus berjaya menerima wang tunai BND800.00 berserta piala.


Sementara naib juara bagi Kategori Lumba Perahu Fiberglass Daerah-Daerah 20 Pekayuh disandang oleh pasukan Daerah Brunei dan Muara dengan catatan masa 5 minit 43 saat dan berjaya memenangi piala juga wang tunai BND700.00, berada di tempat ketiga jatuh adalah pasukan dari Daerah Tutong yang mencatatkan masa 5 minit 55 saat dan menerima wang tunai BND550.00 berserta piala.


Dalam Kategori Perlawanan Lumba Perahu Tradisi Terbuka 25 Pekayuh pula, pasukan dari negara jiran Laksamana Seri Sinampuan sekali lagi mengungguli perlumbaan dengan berjaya mengalahkan 10 pasukan lain dengan catatan masa terpantas mereka 4 minit 56 saat, sekali gus merebut piala kejuaraan dan wang tunai berjumlah BND900.00.


Berada di tempat kedua pasukan Majlis Sukan Pasukan Polis Diraja Brunei yang berjaya mencatatkan masa 4 minit 58 saat dengan membawa pulang piala dan wang tunai berjumlah BND800.00, sementara menduduki tempat ketiga ialah pasukan dari Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dengan catatan masa 5 minit 02 saat dan berjaya memenangi wang tunai BND600.00 berserta piala.


Pada perlumbaan Lumba Perahu Fiberglass Belia-Belia Umur 30 Tahun Kebawah 15 Pekayuh pula, johan disandang oleh pasukan Tamoi Bersatu dengan mencatatkan masa terpantas mereka 5 minit 36 saat dan berjaya membawa pulang wang tunai BND700.00 berserta piala.


Sementara itu, menduduki tempat kedua ialah pasukan Saba dengan catatan masa mereka 5 minit 40 saat dan berjaya menerima wang tunai BND600.00 berserta piala dan tempat ketiga dengan catatan masa 5 minit 44 saat ialah Nanjing China yang berjaya membawa pulang wang tunai BND400.00 berserta piala.


Acara RBD 2018 merupakan salah satu lagi antara siri rancangan majlis atau acara-acara bagi memberi nilai tambah pada suasana berlangsungnya Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-72 Tahun bagi Tahun 2018.


Selain daripada itu, RBD yang diadakan setiap tahun itu juga bertujuan untuk mempromosikan Sukan Lumba Perahu, khususnya kepada golongan belia-belia dan generasi muda, yang mana sukan berkenaan menjadi salah satu sukan tradisi di negara ini.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Senior Minister News
  

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap 11 orang ketua delegasi yang menghadiri Persidangan Ketua-Ketua Pendakwa ASEAN - China Ke-11 di negara ini pada 14 hingga 15 Ogos 2018.


Majlis mengadap berlangsung di Istana Nurul Iman.


Berangkat sama ke majlis mengadap tersebut ialah paduka anakanda Kebawah DYMM, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.


Pada Majlis Mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap ketua-ketua delegasi daripada negara-negara yang menyertai seminar tersebut, iaitu Procurator General, Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Zhang Jun; Prosecutor General, Kerajaan Kemboja, Puan Yang Terutama Chea Leang; Senior Counsel (S.C.); Peguam Negara, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Wong Yuen Kuai Lucien; Deputy Supreme People's Prosecutor, Republik Demokratik Rakyat Lao, Tuan Yang Terutama Xaysana Khotphouphone; Timbalan Peguam Negara, Republik Kesatuan Myanmar, Tuan Yang Terutama Win Myint; Timbalan Peguam Negara, Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Dr. Arminsyah; Peguam Cara Negara II (Kedua), Malaysia, Puan Yang Terutama Datin Paduka Zauyah Be binti T. Loth Khan; Inspector General, Kerajaan Thailand, Tuan Yang Terutama Nattachak Pattamasingh Na Ayuthaya; Deputy Prosecutor General, Republik Sosialis Viet Nam, Tuan Yang Terutama Tran Cong Phan; Senior Counsel (S.C.), Director of Public Prosecutions, Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, Tuan Yang Terutama David Leung Cheuk-Yin dan Prosecutor General, Wilayah Pentadbiran Khas Macao, Tuan Yang Terutama Ip Son Sang.


Turut hadir ialah Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Hairol Arni bin Haji Abdul Majid dan Peguamcara Negara, Yang Mulia Dayang Zuraini binti Haji Sharbawi.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

His Majesty News
  

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam  hari ini berkenan menerima mengadap  Menteri Luar Negeri Malaysia, Yang Berhormat Dato' Saifuddin bin Abdullah.


Mengiringi Yang Berhormat Menteri Luar Negeri Malaysia semasa Majlis Mengadap tersebut ialah Setiausaha, Bahagian Asia Tenggara, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Malaysia, Yang Mulia Eldeen Husaini bin Mohd. Hashim dan Charge d'Affaires, yang juga Minister Counsellor di Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Yang Mulia Puan Rafedah binti Abd. Aziz.


Juga hadir ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof,  dan  Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Dayang Emaleen binti Abdul Rahman Teo.


Majlis Mengadap tersebut berlangsung di Istana Nurul Iman.


Yang Berhormat Dato' Saifuddin bin Abdullah telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Luar Negeri Malaysia yang baharu pada 2 Julai 2018.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

His Majesty News
1 - 30Next